terça-feira, 26 de outubro de 2010 às 23:30 | 0 comentários  



MAKAM SULTAN AL-ARIFIN SYEIKH ISMAIL

Nama sebenar ialah Sultan Al-Arifin Syeikh Ismail Ibn Saiyid Abdul Qadir ibn Saiyid Abdul Jabbar (r.a). Beliau adalah keturunan ke 18 Rasullullah (S.A.W). Sultan Al-Ariffin Syeikh Ismail r.a dilahirkan pada 17 Rabiulawal tahun 867H bersamaan 1463M di Baghdad. Bapanya bernama As-Saiyid As-Syeikh Abdul Qadir  serta ibunya bernama Sayyidah Fatimah. Moyang beliau Sultan Al-Awliya’ Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani, seorang Wali Allah yang sangat mashyur di seluruh dunia. Beliau juga dikenali sebagai Wali Lanang di Kepulauan Melayu.
Menurut riwayat, sewaktu ke Madinah menziarahi Makam Nabi, beliau telah mendengar satu suara yang menyuruh beliau mengembangkan ajaran Islam ke Kepulauan Jawa. Beliau kemudiannya mengembara dan akhirnya tiba di Pulau Besar bersama-sama 16 orang sahabat pada tahun 1495M bersamaan 900H  antaranya guru beliau Syeikh Yusuf As-Sidiq serta saudaranya Saiyid Ibrahim r.a. Di Pulau Besar ajaran Islam berkembang luas dan beliau mempunyai pengikut yang sangat ramai di seluruh Kepulauan Melayu termasuk India, Samudera Pasai, Champa dan Kelantan. Antara murid beliau yang sangat masyhur ialah Raden Maulana Makhdum Ibrahim (Sunan Bonang) serta Raden Paku (Sunan Giri).

Sultan Al-Arifin Syeikh Ismail r.a meninggal dunia pada 17 Rabiulawal tahun 925H ketika berusia 58 tahun serta dikebumikan di sini. Makam ini juga menjadi tumpuan utama pengunjung di Pulau Besar bagi menghargai jasa dan sumbangan besar Allahyarham ketika mengembangkan agama Islam di seluruh Kepulauan Melayu.

MAKAM AL-MURSYID SYEIKH YUSUF AS-SIDIQ

Syeikh Yusuf As-Sidiq merupakan seorang Syeikh Sufi yang tinggi ilmunya serta menghafal beribu-ribu hadis Nabi Muhammad s.a.w. Tidak dapat dipastikan tahun kelahiran namun beliau antara ulama yang turut serta di dalam rombongan Sultan Al-Arifin Syeikh Ismail r.a menyebarkan agama Islam di Kepulauan Melayu pada tahun 1495.
Merupakan guru kepada Sultan Al-Arifin Syeikh Ismail r.a. Diriwayatkan sepanjang hidupnya beliau berpuasa semenjak berumur 9 tahun sehinggalah meninggal dunia pada usia 73 tahun.




MAKAM SYARIFAH RODZIAH / SITI SARAH

Makam ini juga dikenali sebagai Makam Siti Sarah, isteri kepada Saiyid Ibrahim (r.a). Nama sebenarnya ialah Siti Sarah Ibn Syeikh Yusuf As-Sidiq dan merupakan seorang wanita yang sangat taat kepada agama Islam. Disebabkan kecintaan yang sangat mendalam kepada Islam, beliau turut bersama bapanya serta Sultanul Arifeen Assyaikhul As Syed Ismail (r.a) didalam mengembangkan ajaran Islam di Kepulauan Melayu.

Disifatkan seorang yang zuhud serta tinggi ilmunya. Siti Sarah sering mengikuti majlis ilmu bersama bapanya. Ada masanya ketika Syeikh Yusuf As-Sidiq terlupa sesuatu permasalahan, Siti Sarah bersuara menegur serta memperingatkan perkara yang terlupa oleh bapanya.

Beberapa percubaan untuk membina bangunan di makam ini telah dilakukan namun kesudahannya musnah dipikul ribut. Dikatakan Siti Sarah tidak mahu binaan di makamnya seperti mana ketika hayatnya dahulu yang tidak berumah.  


MAKAM SAIYID IBRAHIM (R.A)

Nama sebenar ialah Saiyid Ibrahim Ibn Saiyid Abdul Qadir ibn Saiyid Abdul Jabbar r.a. Merupakan abang kepada Sultan Al-Arifin Syeikh Ismail r.a. Isteri beliau bernama Siti Sarah, puteri kepada Syeikh Yusuf As-Sidiq.
Saiyid Ibrahim r.a sangat mencintai Islam dan menghabiskan seluruh hayatnya bagi mengembangkan ajaran Islam di seluruh Kepulauan Melayu bersama abangnya.

MAKAM NENEK KEBAYAN

Nenek kebayan sering dikaitkan dengan pekerjaannya  sebagai bidan kampung, penjual akar kayu sebagai ubat, penjual bunga dan sebagainya.  Makam lama yang dipercayai makam nenek kebayan terletak dihujung padang golf. Nama sebenar nenek kebayan ialah nenek Siti Fatimah.  Terdapat sedikit keganjilan pada makam ini kerana dibahagian kepala batu nesannya adalah batu nesan perempuan manakala dibahagian kakinya adalah batu nesan lelaki.


MAKAM TOK JANGGUT

Dipercayai beliau berasal dari Acheh dan datang ke Pulau Besar bersama rakannya iaitu Panglima Lidah Hitam.  Beliau telah mengembangkan ilmu persilatannya di Pulau Besar dan ramai orang telah menemuinya di sini untuk menuntut ilmu persilatan daripadanya.  Apabila beliau meninggal dunia, beliau telah dimakamkan di Pulau Besar berhampiran dengan Bothouse.  Makamnya terus dikunjungi sehingga kini.


MAKAM TUJUH BERADIK

Terletak di sebelah kanan dari makam Sultan Arifeen, kira-kira 100 meter.  Ianya tidak jauh dari pantai yang menghadap laut lepas.  Batu nesannya merupakan batu granit.  Kubur yang panjang sekali merupakan abang yang sulung dan begitulah seterusnya mengikut abjad.  Terdapat  dua cerita mengenainya.  Kisah pertama ialah tujuh bersaudara dari Baghdad yang mengiringi  Sultan Arifeen ke Melaka. Mereka mati di Pulau Besar dan dikebumikan di sini.

 Ada pula yang mengatakan bahawa 7 bersaudara itu merupakan pahlawan Sumatera yang menyerang Melaka.  Mereka tewas dan mati dalam pertempuran dan dikebumikan di Pulau Besar.  Namun, kedua-dua cerita tersebut tidak dapat dipastikan akan kesahihannya.


MAKAM SERIBU

Ratusan tahun dahulu, dipercayai Pulau Besar didiami oleh ramai orang dan terdapat perkampungan di pulau ini.  Ada terdapat sebuah tapak makam lama yang dipercayai makam penduduk pada ketika itu.  Ianya terletak berhampiran dengan Makam tujuh Beradik.  Menurut cerita,  kini tapak makam itu hanya terdapat beberapa makam lama sahaja di kawasan sekitarnya tetapi dalam waktu-waktu tertentu, boleh melihat seribu makam lama yang banyak.

MAKAM NISAN SATU


Makam ini terletak berhampiran dengan Batu Tengkorak. Makam ini hanya terdapat satu batu nesan sahaja.  Ia dipercayai makam seorang pemuda yang berumur dalam lingkungan 18 – 19 tahun yang sangat kacak dan tampan.  Tidak dikenal pasti nama sebenar pemuda tersebut.

Postado por Unknown
domingo, 26 de setembro de 2010 às 10:15 | 0 comentários  
Postado por Unknown
Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates